Perutusan Pengerusi

Assalamualaikum WBT,

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita telah mempunyai sebuah Pusat Kecemerlangan (CoE) yang dihasratkan penubuhannya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Pusat Kecemerlangan (CoE) ini dinamakan sebagai Pusat Kajian Pemikiran dan Ketamadunan Islam Negeri Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai Al-Hady Centre. Penubuhan Al-Hady Centre bermula daripada satu kertas cadangan yang telah dibentangkan oleh Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang dalam Mesyuarat MMK (Agama) Bil. 2 tahun 2021. Mesyuarat MMK (Agama) telah membuat keputusan bahawa Al-Hady Centre dikendalikan oleh Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang. Al-Hady Centre telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 26 Mei 2022.

Kini, peranan Al-Hady Centre terus diperkasakan sebagai badan pemikir utama dalam bidang politik, ekonomi, sosial serta sains dan teknologi kepada Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. Al-Hady Centre juga menjadi sekretariat bagi Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang (APAI 2030) yang telah dilancarkan pada 16 Januari 2025 oleh saya. Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang (APAI 2030) merangkumi 5 teras iaitu Pembangunan Sosioekonomi, Pembangunan Pendidikan, Pembangunan Keluarga, Pembangunan Anak Muda dan Pembangunan Dakwah dan Tarbiah. 5 teras dalam agenda ini digerakkan melalui 14 strategi dengan 70 pelan tindakan bersama Agensi-agensi Islam Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Saya mengambil kesempatan ini menzahirkan harapan agar persefahaman yang terjalin sesama agensi Islam di negeri Pulau Pinang diterjemahkan melalui tindakan dan hasil kerja yang berkualiti untuk manfaat pembangunan ummah keseluruhannya.

Terima kasih.

YANG BERHORMAT
DATO’ DR. MOHAMAD BIN ABDUL HAMID